Jumat, 17 Februari 2012

Tukang Masak Didakwa Kerana Mencuri


Tukang Masak Didakwa Kerana Mencuri
KUALA LUMPUR – Seorang tukang  masak yang dipercayai hadir ke Mahkamah  Majistret Jalan Duta di sini untuk menjamin  rakannya pada Isnin lalu, sebaliknya hari ini dia  didakwa atas tuduhan mencuri sebuah telefon  bimbit milik seorang peguam pada hari tersebut.
Lim Chou Huat, 39, mengaku tidak bersalah  selepas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa  kepadanya di hadapan Majistret Zaki Asyraf  Zubir.
Tertuduh didakwa mencuri telefon bimbit jenis  Blackberry Torch yang bernilai RM1,500 milik Nur  Ain Jaafar, 32, di Mahkamah Majistret Jenayah  Enam, Aras 3, Jalan Duta di sini pada pukul 12.30  tengah hari, 13 Februari lalu.
Lelaki yang masih bujang itu didakwa mengikut  Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang membawa  hukuman penjara sehingga 10 tahun dan denda,  jika sabit kesalahan.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, R.  Hemavthi yang mengendalikan pendakwaan  mencadangkan jaminan RM5,000 dengan  seorang penjamin tetapi Chou Huat yang tidak  diwakili peguam bela merayu agar jumlah itu  dikurangkan kepada RM1,000.
Mahkamah kemudian membenarkan lelaki  terbabit diikat jamin RM4,500 dengan seorang  penjamin dan memerintahkan tertuduh untuk  melapor diri di balai polis berhampiran  kediamannya seminggu sekali sehingga kes  selesai.
Chou Huat dibebaskan setelah adiknya membayar  ikat jamin sementara menunggu sebutan kes pada  14 Mac ini.


sumber

Tidak ada komentar:

Posting Komentar