KUALA LUMPUR – Isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor, malam ini menerima Anugerah Wanita Peneraju Kebajikan Asia, sebagai tanda pengiktirafan terhadap dedikasi dan komitmen beliau dalam pelbagai kerja amal.
Rosmah menjadi penerima sulung anugerah tersebut yang disampaikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif NASEBA, Sophie Le Ray, pada majlis jamuan malam gala sempena Forum Wanita Dalam Kepimpinan 2012 di sini.NASEBA merupakan sebuah syarikat maklumat perniagaan.
Pengacara majlis, Asha Gill, dalam ucapannya berkata anugerah itu adalah sebagai tanda penghargaan terhadap sumbangan Rosmah dalam program asuhan dan didikan awal kanak-kanak (PERMATA) dan kerja-kerja amal, antara lain, Majlis AIDS Malaysia dan Yayasan Institut Jantung.
Katanya pada masa depan, anugerah itu akan dinamakan atas nama Rosmah.
Sementara itu, Pengarah Urusan Monster.Com bagi India, Timur Tengah dan Asia Tenggara, Sanjay Modi berkata anugerah itu akan memberi tenaga kepada golongan wanita supaya aktif dalam kerja-kerja amal serta meningkatkan pencapaian dalam semua bidang.
“Saya percaya kaum wanita boleh berjaya dalam semua bidang termasuk perniagaan dan ini membuktikan wanita sentiasa mempunyai kapasiti yang tinggi,” katanya dalam ucapan pada majlis itu.
Forum dua hari yang bermula hari ini dihadiri oleh peserta dari Australia, Bangladesh, Thailand, Filipina, Singapura, Vietnam dan Malaysia. – BERNAMA
Tidak ada komentar:
Posting Komentar