GEORGETOWN – Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin akan mengadakan lawatan kerja sehari di Pulau Pinang esok.
Menurut kenyataan dari Pejabat Timbalan Perdana Menteri hari ini, Muhyiddin dan isteri, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman dijadual tiba di negeri ini pada sebelah pagi.Timbalan Perdana Menteri memulakan lawatannya dengan mengadakan tiga perjumpaan tertutup iaitu dengan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri, Datuk Zainal Abidin Osman, Jawatankuasa Badan Perhubungan UMNO Negeri dan perjumpaan dengan pemimpin-pemimpin Barisan Nasional (BN) Negeri.
Muhyiddin dan rombongan kemudian akan menghadiri jamuan tengah hari Kenduri Rakyat 1Malaysia di Kampung Permatang Tepi, Simpang Empat Balik Pulau dekat sini.
Timbalan Perdana Menteri juga dijadual merasmikan program Majlis Pemantapan Profesionalisme Warga Pendidik Negeri Pulau Pinang di Universiti Sains Malaysia (USM) di sini.
Sementara itu, Noorainee pula dijadual menghadiri dua majlis berasingan iaitu bermula dengan Sarapan Pagi dan Ramah Mesra bersama Puspanita dan pemimpin-pemimpin Persekutuan Wanita Pulau Pinang di Anjung Indah, Balik Pulau.
Beliau kemudiannya menghadiri majlis ramah mesra bersama ahli Pusat Perkembangan Wanita Nelayan (KUNITA) di Kampung Pulau Betong, Balik Pulau sebelum menyertai Muhyiddin di majlis Kenduri Rakyat 1Malaysia.
Timbalan Perdana Menteri dan rombongan dijadual berlepas pulang ke ibu negara pada sebelah petang. – BERNAMA
Tidak ada komentar:
Posting Komentar