PETALING JAYA - Pakatan Rakyat (PR) mendakwa Kerajaan Pusat pimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak akan mengambil kesempatan mengumumkan tarikh Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) sempena sambutan Hari Kemerdekaan.
Setiausaha Agung Pas, Datuk Mustafa Ali berkata, Najib akan mengumumkan tarikh PRU-13 dalam bulan kemerdekaan dan tariknya mungkin pada bulan September atau November.
Menurutnya, PR telah bersedia untuk menghadapi pilihan raya ini walaupun tarikhnya masih menjadi keraguan semua pemimpin politik.
"Najib akan ambil kesempatan dengan Hari Kemerdekaan kali ini untuk memulihkan kembali imej dan umumkan tarikh PRU.
"Apa pun tarikh PRU kita (PR) telah bersedia untuk menghadapinya," katanya pada sidang media di sini hari ini.
Pada akhir Jun lalu, ketika mengumumkan tema Hari Kemerdekaan 'Janji Ditepati', Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Rais Yatim berkata, Sarawak akan menjadi tuan rumah sambutan Hari Malaysia pada 16 September manakala sambutan Hari Kemerdekaan akan diadakan di Kuala Lumpur.
Perarakan Hari Kemerdekaan akan diadakan di Dataran Merdeka manakala pada sebelah malamnya Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak akan bersama rakyat di Stadium Nasional Bukit Jalil untuk menyampaikan amanat merdeka dan amanat Hari Malaysia.
"Pada keseluruhannya saya yakin perayaan Hari Merdeka dan Hari Malaysia kali ini akan lebih hebat dari dulu, cuma tinggal lagi pada 16 September kita akan beralih ke Sarawak untuk meraikan Hari Malaysia dan jawatankuasa mencadangkan supaya kita bersama-sama pula ke kawasan luar bandar di Sarawak," kata Rais.
Sambutan Hari Kemerdekaan dan Hari Malaysia dimulakan pada 11 Julai lalu.
Pada 15 Julai pula, Kementerian Belia dan Sukan melaksanakan program-program yang berkaitan dengan belia di Menara Kembar Petronas.
Pada 17 Julai, Perdana Menter merasmikan program pengibaran Jalur Gemilang di Brickfields, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin di Kampung Baru dan pemimpin masyarakat Cina di Jalan Petaling secara serentak.
sumber asal : sinarharian
Tidak ada komentar:
Posting Komentar